
Anak kedua Siti Maizura Rashid, Muhammad Mishary Muazzin, 9, tidak mampu bertutur hingga kini, memerlukannya menjalani terapi intervensi awal di pusat swasta serta sekolah pendidikan khas untuk meningkatkan perkembangan sosialnya.
“Nak pujuk pergi ke sana sangat mencabar sebab kena tengok tahap ‘tantrum’ dia, walaupun lewat tetap hantar juga kerana rugi kalau tidak pergi,” katanya yang berasal dari Johor Bahru kepada FMT.
Namun kekangan kewangan menyebabkan Mishary hanya dapat mengikuti satu sesi terapi setiap minggu dengan bayaran RM560 sebulan.
“Itu paling murah, sepatutnya terapi bagus untuk Mishary bayarannya RM1,100,” katanya yang lega mendapat bantuan RM400 sebulan daripada Baitulmal Johor untuk membayar yuran Mishary.
Keluarga itu turut diuji apabila anak ketiganya Muhammad Mahdi Mikael, 6, menghidap ekzema atopik yang perlu disuntik setiap bulan untuk mengurangkan kesan penyakit kulit, dengan kos RM4,000 di Hospital Sultan Ismail.

Maizura menambah, mereka sedang menunggu kelulusan bantuan daripada Jabatan Sosial hospital tersebut kerana jumlah itu di luar kemampuan keluarganya.
Memikirkan nasib dua anaknya itu pernah menyebabkan Maizura diserang gangguan kebimbangan, terutama mengenangkan keadaan mereka jika dia dan suaminya meninggal dunia.
“Waktu itu Mai terlalu tertekan dengan situasi anak sehingga alami ‘anxiety attack’, panik fikir siapa hendak jaga mereka nanti,” kata ibu muda berusia 33 tahun itu.

Lebih merunsingkan Maizura, kurangnya kemudahan disediakan untuk OKU seperti pusat terapi dan rumah perlindungan khusus untuk anak autisme, sekiranya sesuatu berlaku terhadap ibu bapa atau waris mereka.
“Kita banyak rumah orang tua dan anak yatim tetapi tiada rumah perlindungan anak autisme, mereka ini bukan kanak-kanak biasa,” katanya.
Dia juga berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak pusat terapi untuk mengurangkan beban ibu bapa dan mempercepatkan proses rawatan untuk kanak-kanak autisme.