Pulau Pinang berdaulat, keabsahan tak boleh dipertikai, kata Ramkarpal

Pulau Pinang berdaulat, keabsahan tak boleh dipertikai, kata Ramkarpal

Ramkarpal berkata Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 jelas menyatakan Pulau Pinang dijadikan sebuah negeri berasingan daripada Kedah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, berkata tiada asas mendakwa Pulau Pinang masih hak Kedah.
PETALING JAYA:
Pulau Pinang merupakan negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan keabsahannya tidak boleh dipertikai, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Beliau berkata, sejak zaman penjajahan British, Pulau Pinang diiktiraf antara Negeri Selat di bawah gabungan dikenali sebagai “Straits Settlements” atau Negeri-Negeri Selat.

“Susulan ini, beberapa perjanjian yang ditandatangani antara negeri Kedah dan pihak British telahpun dengan jelasnya mengiktiraf Pulau Pinang dan Seberang Perai (di tanah besar Pulau Pinang) sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

“Perjanjian tersebut termasuklah Perjanjian Kerajaan Britain dan Negeri Kedah pada 1923, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957,” katanya memetik Bernama.

Justeru, Ramkarpal berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang masih hak Kedah adalah tidak berasas.

Semalam, Sanusi dilapor berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah serta mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Ramkarpal berkata, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 juga menyatakan dengan jelas Pulau Pinang telahpun dijadikan sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu dan sebuah negeri berasingan daripada Kedah.

Memperinci perkara itu, beliau berkata, pembentukan Persekutuan Tanah Melayu adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pada 1957 dan tidak boleh dinafikan bahawa Pulau Pinang turut diiktiraf sebagai antara negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu mengikut Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan turut menjamin bahawa setiap negeri mempunyai Perlembagaan Negeri masing-masing yang memperuntuk cara pengendalian kerajaan negeri termasuk Pulau Pinang.

“Selanjutnya, terdapat juga peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan perlu diberikan perhatian sejak pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Persekutuan Malaysia.

“Tiada sebarang bantahan yang pernah dibangkitkan oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri Kedah bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah,” katanya.

Ramkarpal berkata, sehubungan itu, Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara seharusnya dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.