Penduduk Sierramas, Valencia khuatir cadangan pangsapuri bertingkat tinggi

Penduduk Sierramas, Valencia khuatir cadangan pangsapuri bertingkat tinggi

Penduduk berkata, pembangunan membabitkan 3,000 unit itu akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas di kawasan yang kini hanya menggunakan satu jalan.

Penduduk Sierramas dan Valencia terperangkap dalam kesesakan sejurus keluar dari Plaza Tol Sungai Buloh.
SUNGAI BULOH:
Tujuh persatuan penduduk menyuarakan kebimbangan bahawa cadangan projek pangsapuri servis baharu akan menambah kesesakan lalu lintas harian bagi lebih 10,000 penduduk di kawasan perumahan Sierramas dan Valencia di sini.

Penduduk di kawasan itu, yang menggunakan satu jalan, terkejut apabila mengetahui skala projek yang dicadangkan itu, selepas menerima borang tinjauan impak sosial Disember lepas.

Mereka mendakwa hanya mengetahui tentang satu projek lebih kecil, membabitkan dua menara dengan 405 unit bersebelahan Sekolah Antarabangsa IGB.

Bagaimanapun, borang tinjauan itu mendedahkan satu lagi projek lebih besar, dengan hampir 3,000 unit di tiga menara, dan dua blok podium, yang sedang dibangunkan oleh Ivory Milestone Sdn Bhd.

Mukesh Kapoor.

Para penduduk telah mengemukakan surat bantahan bersama kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 14 Feb, tetapi menurut Pengerusi Sierramas Homeowners Bhd Mukesh Kapoor, mereka masih belum mendapat maklum balas daripada MPS walaupun setelah beberapa peringatan dihantar.

“Kami bukan mempersoalkan hak pemilik tanah untuk membina (di tanah itu), tetapi kami mempersoalkan MPS kerana mengeluarkan perintah pembangunan untuk (projek) berkepadatan tinggi sebegitu,” katanya.

Menurut dokumen bertarikh 3 Mei 2023 yang diperoleh penduduk daripada ahli majlis Zon 23 Calvin Cheong, perintah pembangunan projek itu pada mulanya diluluskan pada 2013, dan pindaan dibuat dan diluluskan pada 2017 dan 2018.

Dokumen itu juga menunjukkan terdapat enam lagi projek pembangunan di kawasan itu yang telah diluluskan.

‘Mimpi ngeri’ lalu lintas

Leong Yew Kuem, yang sudah lama menetap di Sierramas West berkata, pembangunan baharu itu boleh memburukkan lagi kesesakan lalu lintas sedia ada, sekali gus tambah menyukarkan penduduk untuk keluar masuk kawasan itu, yang hanya boleh diakses menerusi satu tanjakan.

Leong Yew Kuem.

Lalu lintas di kawasan itu mula sesak dari 6.30 pagi, apabila ibu bapa menghantar anak ke sekolah. Pada waktu puncak, antara 4.00 petang hingga 8.30 malam, apabila penduduk pulang dari kerja, lalu lintas langsung terhenti akibat kesesakan.

Penduduk mengambil masa sehingga 20 minit untuk melintasi tanjakan selepas keluar dari tol Sungai Buloh.

Leong berkata, tanjakan itu sudah bertahun-tahun tidak dinaik taraf, walaupun lebuh raya NKVE dilebarkan menjadi empat lorong pada 2015.

Pengerusi Laman Sierramas West Wilson Yew berkata, jalan masuk yang sempit tidak akan dapat menampung lagi tambahan lalu lintas sebaik sahaja pangsapuri servis itu didiami.

“Bayangkan jika ada 3,000 unit dalam satu projek, (dan) setiap rumah dapat dua tempat letak kereta. Akan ada 6,000 kereta keluar masuk kawasan itu,” katanya.

Iris Leong, ahli jawatankuasa Persatuan Pemilik Rumah Valencia berkata, penduduk menjadi sangat khuatir kerana kawasan mereka sudah padat diduduki.

“Valencia didiami kira-kira 3,500 orang, dengan kira-kira 4,000 kenderaan,” katanya.

“Dan dengan pembangunan baharu ini, (kesannya) terhadap aliran (lalu lintas) agak membimbangkan,” katanya.

Mengurangkan kesesakan

Menurut dokumen yang diberikan kepada penduduk, Ivory Milestone bersetuju menyumbang dana “signifikan” untuk menaik taraf tanjakan ke Sierramas dan Valencia.

Terdapat juga cadangan supaya titik keluar masuk kedua dibuka di Jalan Hospital.

FMT telah menghubungi Presiden MPS Yazid Sairi dan Ivory Milestone untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.