
Pusat Mediasi Antarabangsa Malaysia (MIMC) memuji cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar kerana ia perkara penting.
“Ini isu berterusan dan tidak dapat diselesaikan yang sekian lama membelenggu banyak keluarga di Malaysia,” kata Pengerusi MIMC, Abdul Fareed Abdul Gafoor dalam kenyataan.
Semalam, Na’im dilaporkan berkata, proses mediasi itu berbentuk tidak formal dan memerlukan satu platform bersesuaian untuk dilaksanakan bagi membantu pihak terlibat, selain daripada konteks mahkamah.
Tetapi katanya, penubuhan pusat mediasi itu masih memerlukan kajian lanjut pihak berwajib agar ia boleh dilaksanakan, sama ada di bawah mahkamah sivil atau sebaliknya.
Beliau mengulas video viral seorang ibu berpisah dengan anaknya berusia sembilan tahun, selepas Mahkamah Tinggi Kuantan memberikan hak penjagaan kepada bapa melalui perintah habeas corpus.
Pasangan itu dilaporkan sudah bercerai. Si ibu yang kini memeluk Islam dikatakan menjaga anak itu.
Fareed berkata, MIMC sedia berbincang dengan Na’im dan pihak berkepentingan lain berhubung cadangan itu kerana pusat mediasi mampu menamatkan “teka-teki antara agama” ini.