
Bekas perdana menteri berkata, amat malang jika pengamal media terus dikongkong dan disekat kebebasan mereka.
“Peranan media amat penting bagi melaporkan berita yang sahih dan tepat terutama di zaman yang terlalu banyak berita palsu dan fitnah tersebar meluas hampir setiap masa.
“Saya harap sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) tahun ini diraikan sebaiknya bagi menghargai segala sumbangan diberikan oleh seluruh wartawan dan pengamal media,” kata Ahli Parlimen Bera itu menurut Berita Harian.
Ketika kunjungannya ke Media Prima di Sri Pentas pada 7 Sept 2022, Ismail yang ketika itu perdana menteri memberi jaminan kepada pengamal media dalam negara yang mereka bebas melaporkan sebarang berita, namun ia mesti bersandarkan fakta benar dan sahih.
Sementara itu, Ismail berkata industri media amat dekat dengan hatinya kerana pernah ditawarkan bekerja dalam bidang itu sebelum melanjutkan pengajian.
“Media adalah satu industri yang sangat dekat di hati saya, malah tawaran kerja saya yang pertama dalam hidup saya adalah pembantu penyiaran di RTM sebelum mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya,” katanya.