
Rosalina Abd Salam dari Universiti Sains Islam Malaysia juga berkata suatu badan khas perlu diadakan bagi mengawal pematuhan undang-undang dan peraturan tersebut. “Kerjasama antara setiap kementerian sangat penting dalam mengawal selia perkara ini,” katanya kepada FMT.
Parlimen Eropah pada 11 Mei lalu meluluskan draf awal Akta AI Kesatuan Eropah, undang-undang pertama di dunia yang dirangka untuk mentadbir teknologi itu. Akta itu antara lain menetapkan aplikasi AI seperti perisian manipulasi media (deepfake) dan bot perbualan (chatbot) harus mendedahkan dirinya kepada pengguna yang terkesan, menurut laporan Brookings Institution, sebuah badan pemikir AS.
Entiti yang menjual dan menggunakan sistem AI ‘berisiko tinggi’ pula dikehendaki memenuhi standard tertentu, serta menyerahkan dokumentasi yang membuktikan kepatuhan sistem mereka.
Di samping penggubalan dan pindaan undang-undang dan peraturan, Rosalina berkata masyarakat juga harus celik mengenai ancaman AI ke atas kehidupan mereka.
“Kempen kesedaran mengenai ancaman AI di semua lapisan masyarakat adalah sangat perlu,” tegasnya.
Semalam, penganalisis kanan di Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS), Harris Zainul, memberitahu FMT bahawa beliau bimbang teknologi AI digunapakai dengan cepat dan senyap tanpa rangka kerja pengawalseliaan, tanpa ketelusan, dan tanpa hukuman yang memadai bagi mereka yang menyebarkan “disinformation”.
“Disinformation” ialah maklumat palsu yang sengaja dibuat untuk memperdaya, lazimnya untuk menggugat sesuatu atau seseorang. Ia berbeza dengan “misinformation”, iaitu maklumat yang mengandungi fakta yang salah.
Sementara itu, kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih berpendapat wujud keperluan menaik taraf pasukan siber polis bagi menangani ancaman penyebaran bahan palsu janaan AI.
“Unit siasatan jenayah siber polis perlu dinaik taraf serta dilengkapi teknologi terkini bagi mengenal pasti pesalah,” kata pengerusinya, Thomas Fann, yang turut mencadangkan agensi kerajaan dan media menggerakkan kempen kesedaran memerangi “berita palsu”.
Sementara itu, Fong Choong Fook, pengerusi eksekutif sebuah firma keselamatan siber, LGMS Bhd, menggesa kerajaan bekerjasama dengan penyedia platform media sosial agar tangkas menangani bahan-bahan berbaur fitnah.
Fong berkata pihaknya maklum teknologi AI sedia ada sudah mampu memanipulasi video-video dan gambar-gambar ahli-ahli politik, yang kemudian disebarkan di media sosial.
“Kerajaan perlu bina hubungan kukuh dengan penyedia platform media sosial seperti Facebook supaya mereka boleh bertindak cepat memadam hantaran berita palsu berkenaan apabila dikesan.”
“Sangat kurang dan perlahan,” katanya, menggambarkan kerjasama kerajaan dengan syarikat penyedia media sosial ketika ini.