Rampasan Swatch dikhuatiri hantar mesej salah kepada jenama antarabangsa

Rampasan Swatch dikhuatiri hantar mesej salah kepada jenama antarabangsa

Langkah ini boleh menimbulkan tanggapan bahawa Malaysia sebuah negara regresif, dan menyebabkan perniagaan asing teragak-agak untuk bertapak di negara ini.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa KDN menjalankan serbuan ke atas 11 cawangan Swatch, merampas jam tangan ‘Pride Collection’.
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan perniagaan khuatir rampasan jam tangan Swatch bertema “Pride” baru-baru ini akan menghantar mesej yang salah kepada jenama antarabangsa yang ingin menjalankan perniagaan di Malaysia.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng bimbang syarikat asing mungkin beranggapan Malaysia negara yang regresif.

“Industri telah melakukan banyak usaha dari dahulu untuk menarik pemain antarabangsa, seperti Swatch Group, (ke negara ini),” katanya.

“Reaksi keterlaluan seperti ini menyukarkan Malaysia untuk mempertahankan kedudukannya sebagai lokasi tumpuan runcit serantau.”

Menurut Ng, sektor runcit menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, kekuatan, kejayaan dan keupayaan sektor itu memberikan perkhidmatan kepada pelanggan sangat bergantung kepada kepelbagaian produk yang ditawarkan, serta kejujuran dan toleransi.

“Sekalipun penguatkuasaan (dilaksanakan) berdasarkan undang-undang sedia ada, pihak berkuasa mesti mengambil kira kesannya terhadap ekonomi dan industri,” katanya.

Ng menyeru komuniti perniagaan agar bertenang, dengan berkata bahawa tiada ketetapan muktamad mengharamkan warna dan tema produk.

“Dalam pada itu, peruncit, terutamanya PKS, dinasihatkan agar mengelak daripada mempromosikan produk yang mungkin dianggap sensitif bagi segmen masyarakat tertentu (di negara ini), sehingga kita mendapat arahan yang lebih jelas daripada kerajaan,” katanya.

Ng mengulas mengenai serbuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas 11 cawangan Swatch baru-baru ini, melibatkan rampasan jam tangan “Pride Collection” yang berwarna pelangi.

The Edge melaporkan bahawa serbuan dilakukan pada 13-14 Mei di cawangan Swatch di pusat beli-belah, termasuk Pavilion KL, One Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah.

Menurut Encyclopaedia Britannica, bendera pelangi direka oleh warga Amerika Syarikat, Gilbert Baker, pada akhir 1970-an sebagai lambang komuniti LGBT.

Reuters melaporkan bahawa Swatch Group merancang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula jam tangan yang dirampas.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata, jenama Swatch terkenal dengan produk jam tangan yang berwarna terang. Beliau menyifatkan campur tangan kementerian itu sebagai “keterlaluan”.

Tambahnya, serbuan itu berpotensi menjadikan komuniti perniagaan lebih berhati-hati tentang membuat keputusan yang tidak popular.

Ia juga akan menyebabkan mereka berfikir dua kali sebelum menjalankan perniagaan di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.