
Timbalan perdana menteri berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar supaya memperhalusi penggubalan akta itu bagi memenuhi keperluan majikan serta pekerja.
Katanya, perkara itu akan mengambil masa agak panjang kerana membabitkan Jabatan Peguam Negara, input beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan terlibat dengan industri itu.
“Jika ada akta ini pun, saya fikir ia mesti memuaskan hati semua pihak. Yang penting, asasnya ialah jaminan masa depan mereka,” katanya menurut Bernama.
Zahid berkata, perlindungan juga perlu diberikan kepada pekerja e-panggilan dan p-panggilan, bukan saja dari segi insurans, tetapi juga manfaat buat mereka.
“Kita harus memperkukuhkan (akta yang akan digubal itu) kerana ini (ekonomi gig) bidang baharu, terutamanya selepas pandemik apabila ada yang terpaksa berhenti kerja, ada juga yang diberhentikan.
“Jadi ‘reskilling’ ini harus dilakukan dan kita mesti menjuruskan mereka kepada bidang bersesuaian kelulusan, pengalaman mereka supaya jaminan sosial dan keselamatan dapat diberikan kepada mereka,” katanya sambil menambah kerajaan akan menyelaras gaji dengan jenis pekerjaan supaya pendapatan setimpal dengan kerja.
Beliau berkata, terdapat banyak peluang pekerjaan dalam negara, namun pencari kerja sering memilih pekerjaan kolar putih (pentadbiran dan pengurusan) berbanding kolar biru (industri pembinaan dan perniagaan).
“Kita akan mengkoordinasi perkara ini agar mereka yang menerima latihan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) umpamanya, kerajaan Perak mengambil inisiatif untuk (gaji minimum) dimulakan sekurang-kurangnya RM1,800 dan ini langkah baik.”