
Ahli MKT Umno, Puad Zarkashi berkata, Ahmad memberi penjelasan dia tidak pernah menyebut “DAP”, sebaliknya meminta akar umbi menyokong calon kerajaan perpaduan.
“Itu sahaja. Tak sebut tentang DAP.
“Jadi, kita terima penjelasan itu kerana kita ingin kerajaan perpaduan ini kekal sehingga cukup penggal,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MKT Umno di Menara Dato Onn.
Menurut Puad, selain isu sokongan terhadap DAP, isu kalimah “Allah” turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.
Terdahulu, Ahmad meminta ahli Umno menganggap calon DAP pada PRN di enam negeri sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan atas nama parti sahaja.
Susulan itu, Ahli MKT Umno, Isham Jalil memberi amaran sokongan kepada Umno akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada PRN.
Dalam pada itu, Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, berkata pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan menjelang PRN dijangka diketahui hujung bulan ini.
Setakat ini, katanya, perbincangan dilakukan di peringkat negeri, namun belum ada keputusan muktamad.
“(Pembahagian kerusi) belum muktamad. Tapi dijangka diketahui hujung bulan ini,” katanya.