
Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Bentong mengesahkan punca kematian lelaki berusia 79 tahun itu adalah akibat “respiratory arrest secondary to acute exacerbation of chronic obstructive pulmonary disease”.
Beliau berkata, terdapat dua laporan polis dibuat pada hari kejadian, iaitu oleh petugas Majlis Perbandaran Bentong (MPB) berusia 55 tahun, dan anak perempuan mangsa berusia 53 tahun yang memaklumkan bapanya rebah dan pengsan di depan rumah.
Polis juga selesai merakam percakapan petugas MPB itu dan anak mangsa, serta beberapa saksi kejadian.
“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian atau membuat komen tidak wajar melalui media sosial atau membangkitkan isu perkauman,” katanya menerusi kenyataan lewat malam tadi.
Zaiham juga memohon saksi kejadian untuk membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan IPD Bentong melalui talian 09-2222222 atau balai polis berdekatan.
Pada Rabu, tular dakwaan seorang lelaki maut di Taman Saga semasa dikatakan cuba menghalang kakitangan majlis perbandaran menangkap anjing peliharaannya dalam operasi di kawasan perumahan berkenaan.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun turut meminta orang ramai untuk menunggu hasil siasatan penuh pihak polis, dengan MPB memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata, operasi kendalian Unit Haiwan Liar dan Terbiar, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran, yang melibatkan 10 individu termasuk empat kontraktor dilantik MPB, dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.