Isa Samad kembali ke pangkuan Umno

Isa Samad kembali ke pangkuan Umno

MKT Umno malam tadi memutuskan menerima semula keanggotaan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Isa Samad berkata beliau membuat permohonan menyertai semula Umno Julai tahun lalu.
SEREMBAN:
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, yang meninggalkan Umno pada 2018, diterima menyertai semula parti itu.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dipengerusikan presiden, Zahid Hamidi.

“Ya, perkara itu diputuskan oleh MKT yang bermesyuarat semalam. Surat rasmi belum dikeluarkan lagi kerana mesyuarat semalam habis pada 12 malam, saya tidak sempat ke pejabat,” katanya kepada pemberita di Wisma Umno Negeri Sembilan.

Isa, 74, yang juga bekas Ahli Parlimen Jempol, sebelum ini mengumumkan keluar Umno kerana ingin bertanding dalam PRK Port Dickson memandangkan parti itu tidak meletakkan calon.

Sementara itu, Isa mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti diterajui Zahid kerana meluluskan permohonan yang dihantar kepada Umno, sejak Julai tahun lalu.

Katanya, beliau kini adalah ahli Umno Bagan Pinang dan sedia membantu kerajaan perpaduan dalam memastikan kemenangan pada PRN tidak lama lagi.

“Terima kasih terima saya jadi ahli Umno, saya tidak pernah menentang parti. Semasa bukan ahli Umno, saya tetap menyokong Umno, mana-mana ceramah pilihan raya Umno saya pasti pergi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.