Atas dasar prinsip, Annuar tak ‘arah’ anak tinggal Umno

Atas dasar prinsip, Annuar tak ‘arah’ anak tinggal Umno

Annuar Musa berkata anaknya Afiq Amani yang juga ketua Pemuda Umno Ketereh dilantik akar umbi berbanding dirinya yang dipecat.

Annuar Musa memberi keizinan kepada anaknya, Afiq Amani, untuk terus berkhidmat dalam Umno.
PETALING JAYA:
Annuar Musa berkata boleh sahaja “mengarahkan” anaknya, Afiq Amani, yang juga ketua Pemuda Umno Ketereh meninggalkan parti, namun tidak melakukan demikian atas dasar prinsip.

Bekas setiausaha agung Umno itu berkata, berbanding dirinya yang dipecat, Afiq diberikan mandat akar umbi untuk menerajui Pemuda Umno Ketereh.

“Anak saya…saya boleh arah sahaja. Namun saya tidak begitu, dia (Afiq) ketua Pemuda Umno yang dipilih oleh akar umbi dan diberi kebebasan untuk pikul tanggungjawab diberikan oleh ahli,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab Ketua Penerangan Umno Ketereh, Zawawi Othman, yang berkata Annuar akan dilabel gagal jika anak sendiri tidak meyakini tindakannya mahu menyertai PAS.

Pada 21 Mei, Afiq memberi “bayangan” perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tanpa menjadi “guru” yang pernah mengajarnya.

“Apabila berguru, kita turuti mereka untuk menuntut ilmu, tetapi sampai satu masa, kita perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tak semestinya kita jadi guru kita.

“Setiap insan berbeza, mungkin kita silap dan mungkin kita jadi lebih baik dengan keputusan yang kita ambil. Itulah kehidupan, kita hanya boleh lakukan yang terbaik dan berdamai dengan pilihan diri sendiri,” katanya di Facebook.

Annuar ketika mengulas lanjut berkata, prinsip merupakan perkara yang perlu ada dalam berpolitik dan tidak harus menunjukkan kesombongan dalam membuat kenyataan kerana ia melibatkan perkara serius.

Katanya, beliau memberikan ruang kebebasan buat Afiq untuk memilih haluan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.