Aaron-Wooi Yik terlepas separuh akhir Masters Malaysia

Aaron-Wooi Yik terlepas separuh akhir Masters Malaysia

Juara dunia beregu lelaki itu tewas pada peringkat suku akhir kepada Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia, 18-21, 19-21, selepas 52 minit.

Beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pilihan kedua dalam kejohanan Masters Malaysia, gagal mempamerkan prestasi terbaik pada peringkat suku akhir malam tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas pada peringkat suku akhir kejohanan Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena di sini semalam.

Pilihan kedua kejohanan itu gagal mempamerkan prestasi terbaik apabila dikejutkan pilihan kelapan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia, 18-21, 19-21, selepas 52 minit.

Wooi Yik yang kecewa, mengakui aksi Leo-Daniel lebih baik hari ini dan mereka lebih bersedia.

“Kami tidak cukup sabar. Kami telah cuba yang terbaik namun mereka lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Ditanya mengenai misi seterusnya, Wooi Yik berkata, mereka tidak akan menyertai Terbuka Thailand di Bangkok pada 30 Mei-4 Jun ini, dan akan kembali beraksi pada Terbuka Singapura pada 6-11 Jun.

Sementara itu, Leo-Daniel akan menentukan tempat ke peringkat akhir dengan menentang satu lagi beregu kebangsaan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun membuat kejutan dengan menewaskan bekas juara dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 23-21, 21-17, kemenangan terbesar dalam kerjaya mereka setakat ini.

Selain itu, beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga gagal mara ke pusingan seterusnya selepas tewas kepada beregu Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-15, 16-21, 14-21.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.