
Beliau berkata, perkara ini akan dibangkitkan pada mesyuarat Jemaah Menteri petang ini, yang turut akan dihadiri pihak BNM.
“Saya akan bawa perkara ini pada mesyuarat Jemaah Menteri petang ini, BNM juga akan hadir.
“Kita serahkan kepada BNM supaya perkara ini tidak terus teruk,” katanya pada sidang media pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini.
Katanya lagi, ketidaktentuan berterusan nilai ringgit di pasaran antarabangsa dikhuatiri akan memberi kesan pada kadar inflasi negara, kerana import negara akan menjadi mahal.
Beliau berkata, nilai ringgit yang lemah berpunca daripada kegagalan Amerika Syarikat (AS) mencapai kata sepakat mengenai had siling hutang negara itu yang kini pada kadar USD31.4 trilion.
“Bila belum diluluskan (had hutang baharu), pelabur masih memegang duit mereka dan permintaan dolar AS semakin meningkat dan mengukuh.
“Kita harap fenomena ini hanya sementara dan ringgit kembali ke tahap stabil seperti kadar lama yang berlaku bagi tempoh 6 bulan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, manfaat nilai ringgit yang lemah adalah bagi sektor eksport negara, selain dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini.
Ringgit kekal bawah tekanan pagi ini, apabila susut kepada 4.6280 berbanding dolar AS, kadar terendah dalam tempoh enam bulan.