Pukul isteri hingga parah, lelaki mengaku salah

Pukul isteri hingga parah, lelaki mengaku salah

Nor Amin Ahmad didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah rumah, pertengahan bulan ini.

Mahkamah menetapkan 14 Jun bagi keputusan hukuman terhadap Nor Amin Ahmad yang mengaku bersalah memukul isteri. (Gambar Pexel pic)
PETALING JAYA:
Seorang penjual roti mengaku salah di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memukul isteri hingga cedera, 11 Mei.

Nor Amin Ahmad, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, lapor Utusan Malaysia.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya berusia 40 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kasa Height Residence, Alor Gajah, 7.55 malam pada 11 Mei.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda atau kedua-keduanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pendakwaan memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang mana tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis serta tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Tertuduh merayu jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung empat anak.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM13,000 berserta syarat tambahan dan menetapkan 14 Jun bagi keputusan hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.