
Peguam M Ramachelvam memuji rancangan kerajaan untuk menubuhkan badan pengawasan baharu seperti yang dicadangkan, tetapi katanya, langkah itu menyerlahkan kelemahan dalam agensi sedia ada.
Beliau memetik Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sebagai contoh.
“Kerajaan juga harus memberi EAIC dan IPCC kuasa tatatertib yang diperlukan agar kedua-dua suruhanjaya ini dapat menjalankan tugas dengan berkesan,” katanya kepada FMT.
Kumpulan masyarakat sivil sebelum ini melabel EAIC dan IPCC sebagai “harimau tidak bertaring” kerana mereka tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan.
Ramachelvam, bekas pengerusi pasukan petugas IPCC Majlis Peguam, juga berkata, amat dikesali apabila kuasa tatatertib yang ditetapkan dalam Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 digugurkan daripada Akta IPCC.
Pada Isnin, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan penubuhan badan khas untuk menyiasat pegawai.
Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy mengulangi seruan agar agensi sedia ada diperkukuh.
“Mandat suruhanjaya sedia ada terutamanya terhad kepada siasatan, tanpa kuasa untuk memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai awam,” katanya.
Beliau memetik IPCC sebagai contoh, dengan menyatakan bahawa suruhanjaya itu tidak dibenarkan melawat pusat tahanan tanpa notis awal dan hanya boleh mengesyorkan penemuannya kepada Suruhanjaya Pasukan Polis, tanpa kuasa untuk memaksanya mengambil tindakan.
Pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia Salawati Mat Basir mengalu-alukan langkah kerajaan itu dengan berkata, “orang ramai akan berasa lebih yakin untuk melaporkan salah guna kuasa tanpa rasa takut”.
Katanya, ramai pegawai atasan korup dan orang bawahan mereka terpaksa mengikut arahan.