‘Peraturan pakai tali pinggang’, MYAirline jawab keluarga hampir diarah keluar pesawat

‘Peraturan pakai tali pinggang’, MYAirline jawab keluarga hampir diarah keluar pesawat

Syarikat penerbangan itu berkata peraturan CAAM mengkehendaki kanak-kanak atas 24 bulan tidak boleh menggunakan tali pinggang bayi.

Seorang penumpang berkata anaknya yang baharu lima hari melepasi usia 24 bulan hanya akan duduk diam jika diberikan duduk di pangku ibunya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Peraturan keselamatan dikuatkuasakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjadi sebab MyAirline Sdn Bhd meminta sebuah keluarga meninggalkan pesawat dari Langkawi ke Kuala Lumpur, pada Rabu.

Dalam hantaran di Facebook, MYAirline berkata, “sejajar keperluan ditetapkan” adalah wajib bagi kanak-kanak berusia 24 bulan dan ke bawah dipangku penjaga dengan memakai tali pinggang keselamatan tambahan.

“Walaubagaimanapun, kanak-kanak berumur 24 bulan dan ke atas harus memakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk mereka atas tujuan keselamatan,” katanya syarikat itu dalam kenyataan.

Syarikat berkenaan mengeluarkan kenyataan itu susulan hantaran tular di media sosial daripada seorang lelaki, mendakwa keluarganya hampir dikeluarkan daripada pesawat kerana anak lelakinya berusia dua tahun enggan duduk di kerusinya.

Lelaki itu mendakwa, anak kapal enggan menyediakan “tali pinggang bayi” atau “tali pinggang tambahan” untuk membolehkan kanak-kanak itu duduk bersama ibunya, yang mana melanggar dasar syarikat penerbangan tersebut.

Bagaimanapun, lelaki itu berkata, anaknya itu hanya lima hari sahaja melangkaui usia 24 bulan.

Lelaki itu berkata, anaknya merengek dan tidak mahu kekal berada di kerusinya untuk dipasang tali pinggang, sekali gus menyebabkan anak kapal berulang kali memberi peringatan mengkehendaki anak kekal di kerusi ditetapkan.

Dalam hantaran panjang lebar, dia berkata, ketua anak kapal kemudian memaklumkan kepada juruterbang bertugas, membawa pengumuman dalam interkom bahawa keluarganya akan dikeluarkan dari pesawat oleh pegawai keselamatan lapangan sekiranya tidak memberi kerjasama.

MYAirline berkata, syarikat itu akan membuat siasatan menyeluruh berhubung dakwaan itu.

“Kami sedang menyiasat perkara untuk mengenalpasti jurang dalam perkhidmatan kami dan membuat tindakan pembetulan sepatutnya agar situasi sebegini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.