
Ketua Polis Padawan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad , berkata polis juga mengesan satu video rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu yang tular di Twitter.
“Polis mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang juga pekerja premis itu pada 22 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, ketika kejadian pengadu bersama rakan sekerja didatangi seorang lelaki berpakaian seperti wanita dan membawa senjata dipercayai pisau.
“Suspek terus merampas peti wang tunai di kaunter juruwang dan terus melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal ditunggang seorang lagi suspek yang menunggu diluar.
“Kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan berdasarkan dialek pertuturan mereka. Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Abang Zainal berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek dengan kerjasama pasukan IPD lain serta Jabatan Siasatan Jenayah JSJ IPK Sarawak.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit bersalah boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan sebat,” katanya.