Guan Eng, isteri, dan ahli perniagaan mahu tuduhan rasuah dibatal

Guan Eng, isteri, dan ahli perniagaan mahu tuduhan rasuah dibatal

Kes rasuah dan pengubahan wang haram mereka, berkait projek asrama pekerja bernilai RM11.6 juta, kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

(Dari kiri) Lim Guan Eng, Betty Chew dan Phang Li Koon didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram pada 11 Ogos 2020.
GEORGE TOWN:
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew, dan ahli perniagaan Phang Li Koon mahu tuduhan rasuah terhadap mereka, membabitkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta, dibatalkan.

Peguam, RSN Rayer, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau akan memfailkan permohonan supaya kes itu dibuang.

Katanya, pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes jenayah terdahulu, membabitkan pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn, walaupun dia dibebas dan dilepaskan pada 2018.

Lim, Chew dan Phang berada di Mahkamah Tinggi di sini selepas kes mereka dipindahkan dari Mahkamah Sesyen di Butterworth, di mana mereka meminta dibicarakan pada 2020.

Hari ini, mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan, yang dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rofiah Mohamad.

Mereka didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Rofiah menetapkan 11 Sept untuk pengurusan kes.

Ketiga-tiga mereka dibenarkan memindahkan wang ikat jamin sebanyak RM50,000 yang dicadangkan sebelum ini.

Kes membabitkan projek asrama yang dianugerahkan kepada syarikat yang dikaitkan dengan Phang ketika Lim menjadi ketua menteri.

Lim didakwa memberi suapan bernilai RM372,009 kepada Chew melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd bagi memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd memperoleh projek itu di Juru dan Batu Kawan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, ketika Lim juga menjadi pengerusi lembaga tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Phang didakwa bersubahat dengan Lim mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Chew didakwa atas tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM372,009 daripada akaun Public Bank yang didaftarkan di cawangan Taman Melaka Raya antara 7 Okt 2013 dan 3 Mac 2016.

S Meharaj turut mewakili Lim dan Chew selaku peguam, manakala V Sithambaram mewakili Phang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir dan Shafiq Hasim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.