
Nik Nazli Nik Mohd Mustapha, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Harian Metro melaporkan, mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kematian Mohamad Hasmizi Zudin Che Hasmi, 26, dengan melakukan perbuatan cuai.
Kesalahan itu dilakukan di Kompartment 42, Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Kelantan Timur, dekat Machang antara 2 hingga 3 pagi, 12 Mei 2023.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang patah dan empat butir peluru hidup dengan cara menyalahi undang-undang bertempat di kaki bukit belakang Pejabat Tapak Semaian Jabatan Perhutanan, Bukit Batu Tapong, Machang, kira-kira 1 tengah hari pada tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman sehingga 14 tahun penjara dan dihukum sebat tidak kurang daripada enam kali, jika disabitkan dengan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk serahan dokumen.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki yang memburu di kawasan Hutan Simpan Bukit Pelanduk, Machang dilaporkan tertembak anak sepupunya, dalam kejadian 2 pagi, 12 Mei lalu.
Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, dipetik berkata lelaki berusia 39 tahun dikatakan melepaskan tembakan selepas menyangka mangsa adalah haiwan buruan.