KDN tak mungkin kembalikan jam ‘pelangi’ Swatch

KDN tak mungkin kembalikan jam ‘pelangi’ Swatch

FMT difahamkan kementerian akan mempertahankan tindakan merampas koleksi jam tangan tersebut.

Kementerian Dalam Negeri menyerbu 11 butik jam tangan Swatch di seluruh negara pada 13 dan 14 Mei serta merampas koleksi jam tangan ‘Pride Collection’.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mungkin mengembalikan koleksi jam tangan “pelangi” Swatch yang dirampas dari 11 butik syarikat Switzerland itu kira-kira seminggu lalu, FMT difahamkan.

Sumber memberitahu, kementerian akan mempertahankan tindakan merampas jam tangan itu walaupun menerima kecaman beberapa pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Swatch, Nick Hayek, berkata syarikat itu akan mengambil tindakan undang-undang bagi mendesak koleksi jam tangan “Pride Collection” yang dirampas dikembalikan.

Difahamkan, serbuan itu dilakukan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menerbitkan bahan dianggap mengganggu ketenteraman awam, moral, keselamatan dan kepentingan awam atau negara.

Sumber memberitahu FMT, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail sudah diberi taklimat berhubung rampasan itu.

KDN sebelum ini dilaporkan menyerbu 11 butik Swatch di seluruh negara pada 13 dan 14 Mei, serta merampas koleksi jam tangan itu.

Serbuan itu dilaporkan susulan warganet mengaitkan koleksi berkenaan dengan sokongan kumpulan rock Britain, Coldplay, terhadap masyarakat lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, menggesa Saifuddin menjelaskan pendirian Putrajaya berhubung serbuan itu dan melahirkan kebimbangan dengan “kesamaran” terhadap apa yang boleh ditafsirkan sebagai “berbahaya”.

“Adakah kita akan mula menyerbu semua kedai yang menjual apa-apa dengan hiasan pelangi/’pride’, termasuk perniagaan kecil?,” kata Adun Puteri Wangsa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.