Jangan tukar hutan Tasik Chini jadi ladang, kata kumpulan alam sekitar

Jangan tukar hutan Tasik Chini jadi ladang, kata kumpulan alam sekitar

RimbaWatch mendakwa ada rancangan untuk menukar 1,625ha kawasan hutan untuk tujuan itu.

RimbaWatch mendesak pihak berkuasa mengekalkan hutan simpan Tasik Chini di Pekan, Pahang itu. (Gambar Facebook) (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Satu kumpulan alam sekitar menggesa pihak berkuasa untuk membatalkan sebarang rancangan yang mungkin ada untuk menukar hutan simpan Tasik Chini di Pekan, Pahang, menjadi ladang.

RimbaWatch mendakwa baru-baru ini mereka melihat dokumen yang melibatkan rancangan yang dipercayai untuk menukar 1,625ha daripada kawasan hutan simpan tersebut menjadi ladang pembalakan.

“Kami mendesak pihak berkuasa untuk menolak sebarang cadangan untuk mengwujudkan ladang pembalakan di kawasan hutan simpan Chini dalam apa jua skala pun,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu juga mendesak Jabatan Alam Sekitar untuk menolak serta-merta sebarang laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dikemukakan berkaitan dengan rancangan tersebut.

Katanya, menukar sebahagian kawasan hutan simpan menjadi ladang pembalakan akan menyebabkan kehilangan stok karbon.

Mereka berkata Malaysia mempunyai komitmen antarabangsa untuk memelihara dan meningkatkan kawasan penyerap karbon semula jadi, termasuk hutan, di bawah Perjanjian Paris, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan iklim.

“Projek yang dicadangkan tidak sejajar dengan komitmen ini dan boleh memberi kesan kepada hasrat negara untuk mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya.

RimbaWatch juga menyeru supaya hutan simpan Chini diklasifikasikan sebagai “hutan dilindungi” di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, dan sebarang pembalakan atau konsesi lain di kawasan itu dibatalkan.

Mereka berkata hutan itu harus dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk dikekalkan sebagai “hutan pemuliharaan nilai tinggi”.

Tasik Chini seluas 7,000ha, Banjaran Crocker di Sabah, dan Bukit Bendera di Pulau Pinang diisytiharkan sebagai kawasan biosfera oleh Unesco.

Pada September tahun lalu, menteri tenaga dan sumber asli ketika itu, Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa laporan mengenai pembaikan yang dilakukan terhadap kawasan biosfera Tasik Chini akan dihantar kepada Unesco, dan beliau yakin badan PBB itu akan mengekalkan status Tasik Chini.

Unesco menetapkan 30 Sept 2022 sebagai tarikh akhir bagi Malaysia untuk melaporkan kepada badan dunia itu tentang rancangan untuk merawat dan membaikpulih Tasik Chini dan kawasan sekitarnya.

Takiyuddin berkata pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan untuk memelihara dan mengekalkan kawasan Tasik Chini, termasuk penanaman pokok, peningkatan penguatkuasaan, dan penghentian aktiviti perlombongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.