Halim Saad nafi disoal SPRM berkait pembelian saham Renong RM2.3 bilion

Halim Saad nafi disoal SPRM berkait pembelian saham Renong RM2.3 bilion

Bekas pengerusi eksekutif Renong itu menolak dakwaan beliau mendapat manfaat daripada pembelian saham Renong oleh UEM pada 1997.

Halim Saad yang kini terlibat dalam industri O&G di luar negara, mengecam sebuah akhbar perniagaan kerana mengaitkan dirinya dengan pemerolehan saham Renong bernilai RM2.3 bilion. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Usahawan Halim Saad menyangkal laporan media yang mendakwa beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion berkaitan pembelian saham syarikat tersenarai oleh sebuah konglomerat Malaysia 26 tahun lepas.

“SPRM tidak memanggil saya untuk disoal siasat mengenai isu itu,” kata Halim kepada FMT Business.

Jumaat lepas, media melaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan seorang ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” berhubung dakwaan penyelewengan dana negara.

Menurut sumber, SPRM mula menyiasat kedua-dua individu tersebut selepas nama mereka tersenarai dalam Pandora Papers sebagai mempunyai kaitan dengan tempat berlindung cukai luar pesisir.

Halim, yang kini terlibat dalam industri minyak dan gas (O&G) di luar negara, mengecam akhbar The Edge kerana mengaitkan dirinya dengan pemerolehan saham bernilai RM2.3 bilion.

The Edge melaporkan, sumber SPRM telah mengesahkan bahawa transaksi itu melibatkan pembelian 32.6% kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Bhd oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) pada harga RM2.3 bilion pada November 1997, di tengah-tengah krisis kewangan Asia.

The Edge juga menerbitkan semula tiga artikelnya mengenai pemerolehan saham Renong UEM dari November 1997 untuk “menyegarkan ingatan pembaca”.

Halim berkata, artikel-artikel itu mencetuskan spekulasi tidak berasas mengenainya dan menimbulkan pertikaian mengenai peranannya dalam pembelian saham Renong oleh UEM.

“Saya cabar mereka kemukakan bukti mengenai salah laku saya dalam urus niaga berkenaan,” katanya.

Halim memainkan peranan penting dalam mengembangkan empayar korporat Renong dari pertengahan 1980-an hingga 1990-an.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.