
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, berkata syarikat MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR), mengemukakan permohonan itu sebagai pelan pemasaran mereka untuk terus kekal berdaya saing dan lestari.
“Kerajaan bersetuju dengan permohonan ini kerana gula putih bertapis jernih akan memberikan pilihan kepada pengguna selain gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus).
“Kerajaan juga memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga dikawal kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus),” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, gula putih bertapis jernih itu akan mula dijual di pasaran bermula hari ini.
Salahuddin berkata syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula bertapis sedia ada yang mencukupi di pasaran.
Katanya, tindakan termasuk kepada pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada kepada pelanggannya.
Ditanya sama ada gula putih bertapis jernih itu merupakan gula premium termasuk penetapan harga, Ahli Parlimen Pulai itu berkata ia bergantung kepada syarikat gula.
“Tapi jangan melampau, kerana (kalau melampau) nanti Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan ambil tindakan,” katanya.
Katanya, kerajaan turut meneruskan Ops Manis dalam tempoh sebulan lagi bagi memastikan penjualan gula putih bertapis jernih tidak menjejaskan bekalan gula sedia ada.