
Hussein Nasir, lebih dikenali sebagai “Datuk Roy”, dan Pegawai SPRM Rasyidi Said dituduh bersama-sama meminta jumlah itu daripada Siti Dalena Berhan sebagai dorongan agar SPRM tidak menahan individu dikenali sebagai Fakhri Yassin Mahiaddin dalam siasatan rasuah.
Mereka juga didakwa menerima RM240,000 daripada seorang individu bernama Syed Farid Syed Ahmad Al-Attas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Februari dan Mac tahun ini.
Kedua-dua tuduhan terhadap Rasyidi dan Hussein dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.
Hussein juga didakwa atas satu lagi tuduhan meminta RM2 juta daripada Dalena dan Syed Farid sebagai dorongan untuk meringankan tuduhan, meminda pernyataan saksi, dan mengurangkan jumlah ikat jamin dalam kes rasuah Adam Radlan Adam Muhammad.
Adam, yang juga timbalan ketua Bersatu Segambut, berdepan empat tuduhan rasuah berkaitan dengan Jana Wibawa.
Jika didapati bersalah atas tuduhan bersama, Hussein dan Rasyidi berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
Hussein dibenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala bagi Rasyidi, RM10,000 dengan seorang penjamin.
Hakim Suzana Hussin memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah sementara menunggu perbicaraan.
Mahkamah menetapkan 7 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.
Hussein diwakili Fahmi Abd Moin dan Ariff Azami Hussein selaku peguam, manakala Hezri Shaharil mewakili Rasyidi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.
Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.