Bersih persoal Wong Chen dilantik pengerusi MDV

Bersih persoal Wong Chen dilantik pengerusi MDV

Badan pemantau pilihan raya itu menegaskan wakil rakyat harus dikecualikan daripada menjadi calon bagi jawatan dalam GLC.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen dilantik menjadi pengerusi bukan eksekutif baharu Malaysia Debt Ventures Bhd, berkuat kuasa Selasa lepas.
PETALING JAYA:
Bersih mempersoalkan pelantikan Ahli Parlimen Subang Wong Chen sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), yang berkuat kuasa Selasa lepas.

“Kami tidak mempersoalkan kelayakan Wong Chen mahupun keupayaannya untuk mengetuai perusahaan sedemikian,” kata badan pemantau pilihan raya itu dalam kenyataan.

“(Bagaimanapun), kami tertanya-tanya sama ada tidak cukup bakat di negara kita sehinggakan perdana menteri mesti melantik Wong Chen.”

Bersih mengakui bahawa Wong Chen terbukti seorang Ahli Parlimen yang berkebolehan, turut dilantik mempengerusikan jawatankuasa Parlimen mengenai hubungan antarabangsa dan perdagangan, selain menjadi pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai pendanaan politik.

Katanya, wakil rakyat harus dikecualikan daripada menjadi calon bagi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), walaupun pengecualian boleh dibuat bagi badan berkanun utama yang menyelia dan mengarahkan dasar kerajaan.

Walaupun profil Wong Chen telah ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pelantikan sedemikian juga harus ditapis oleh jawatankuasa Parlimen yang berkaitan, katanya.

Tambahnya, penelitian oleh jawatankuasa Parlimen akan memastikan hanya individu yang layak dilantik memegang jawatan penting dalam GLC dan lembaga berkanun memandangkan badan-badan ini bukan perniagaan swasta, tetapi penjaga dana awam.

Menurut Bersih, pengumuman Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini mengenai calon yang layak memohon menjadi ketua pegawai eksekutif dua GLC bawah kementeriannya, Teraju dan Peneraju, harus dicontohi.

Langkah sebegitu harus digubal menjadi sebahagian prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pelantikan ke GLC dan lembaga berkanun, tambahnya.

Bersih berkata, perdana menteri mesti merebut peluang untuk menamatkan pelantikan politik dan naungan yang telah diamalkan selama berdekad-dekad, lazimnya berakhir dengan rasuah dan salah tadbir GLC terbabit.

“Biar proses pelantikan itu terbuka dan telus supaya rakyat Malaysia berkelayakan yang ingin berkhidmat kepada negara melalui GLC dan badan berkanun boleh memohon,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.