Perinci peraturan kalimah ‘Allah’ tanpa jejas enakmen negeri, Sultan Johor beritahu Putrajaya

Perinci peraturan kalimah ‘Allah’ tanpa jejas enakmen negeri, Sultan Johor beritahu Putrajaya

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk mesti dipelihara.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata Putrajaya hendaklah memperhalusi dengan cermat kesan keputusan menarik balik rayuan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sultan Johor mahu Putrajaya memperincikan peraturan dan penyelarasan tentang kalimah “Allah” tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata Johor mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam, yang melarang penggunaan kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam, kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan.

“Peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan, dan penyelarasan tentang kalimah ‘Allah’ mesti diperinci tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk kita akan terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya akan mengkaji dan mengemaskini arahan “yang lebih menyeluruh” bagi menangani isu penggunaan kalimah “Allah”.

Langkah itu selepas kerajaan tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah bagi kes kalimah “Allah”, kerana keputusan kes berdasarkan percanggahan di antara arahan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri 1986 dan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.

Sultan Johor berkata Putrajaya hendaklah memperhalusi dengan cermat kesan keputusan menarik balik rayuan itu, “kerana ia berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini”.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 membenarkan bahan penerbitan agama Kristian di Sarawak menggunakan kalimah Allah secara bersyarat bagi tujuan pembelajaran agama, selepas mendapati terdapat percanggahan antara arahan Kementerian Dalam Negeri dan keputusan Jemaah Menteri.

Saifuddin mengingatkan semua pihak bahawa keputusan mahkamah itu berkaitan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan; manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, mengesahkan isu ini melibatkan teknikal perundangan.

Di Selangor, Menteri Besar Amirudin Shari berkata larangan berkait penggunaan kalimah “Allah” mengikut enakmen negeri masih berkuatkuasa seperti biasa.

Tegasnya, pendirian KDN yang tidak meneruskan rayuan ekoran percanggahan itu tidak menjejaskan atau mengancam pendirian kerajaan negeri dan enakmen berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.