Pengurusan rayuan Loh berkait status agama anak didengar 7 Jun

Pengurusan rayuan Loh berkait status agama anak didengar 7 Jun

Peguam J Gunamalar berkata tarikh pengurusan kes ditetapkan untuk mengemas kini rekod rayuan mahkamah.

Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Loh Siew Hong bagi mencabar pengislaman tiga anak oleh bekas suaminya secara berpihak.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Jun ini mengenai pengurusan kes rayuan ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara berpihak.

Peguam J Gunamalar yang mewakili Loh ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh pengurusan kes ditetapkan untuk mengemas kini rekod rayuan mahkamah.

Beliau berkata, pasukan pembelaan Loh dalam usaha mendapatkan alasan penghakiman Mahkamah Tinggi bagi membolehkan mereka menyediakan rekod rayuan dan mengemukakannya kepada mahkamah supaya boleh menetapkan tarikh pendengaran awal untuk rayuan Loh.

“Kami sedang menyegerakan proses rekod rayuan,” katanya.

Pengurusan kes bagi rayuan Loh didengar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mariam Hasanah Othman secara dalam talian melalui e-Review.

Ibu berusia 36 tahun itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas yang menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar pengislaman tiga anaknya oleh bekas suami wanita itu tanpa persetujuan anaknya.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusannya berkata, tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu berhenti menganut agama Islam apabila berada di bawah jagaan ibu mereka.

Beliau juga berkata, tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu telah kembali ke agama Hindu.

Loh, memfailkan permohonan itu pada 25 Mac tahun lepas dan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden.

Ibu tunggal itu memohon pengisytiharan tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya, M Nagahswaran, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

Wanita itu juga memohon pengisytiharan tiga anaknya itu, sebagai kanak-kanak, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenarannya.

Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan pemelukan agama Islam, bertarikh 7 Julai 2020, yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Perlis atas nama tiga anaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.