Pembantu tadbir mengaku tak salah 24 pertuduhan rasuah

Pembantu tadbir mengaku tak salah 24 pertuduhan rasuah

Norashikin Mohamed Hussin didakwa menerima suapan lebih RM18,000 berkaitan kerja pembaikan kenderaan Pejabat Kesihatan Port Dickson.

Pembantu tadbir Pejabat Kesihatan Port Dickson, Norashikin Mohamed Hussin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menerima rasuah antara 2018 dan 2020.
SEREMBAN:
Seorang pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 24 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM18,663 berkaitan kerja pembaikan kenderaan Pejabat Kesihatan Port Dickson, antara 2018 dan 2020.

Norashikin Mohamed Hussin, 37, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-22, Norashikin bertugas di Pejabat Kesihatan Port Dickson didakwa bersetuju menerima wang tunai antara RM100 hingga RM3,057 daripada seorang lelaki sebagai upah menawarkan kerja pembaikan kenderaan jabatan dalam sistem e-Perolehan (pelawaan tawaran harga) kepada syarikat diurus individu tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 4 Dis 2018 hingga 8 Julai 2020 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-23 dan 24 pula, Norashikin didakwa bersetuju menerima wang RM100 dan RM200 tanpa balasan daripada individu sama melalui akaun bank antara 10 hingga 12 Sept 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ibu kepada dua anak itu turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama kerana membuat pengesahan satu dokumen palsu berkaitan ‘pembaikan turbo charger unit vektor NBS Nissan Frontier’ berjumlah RM2,900 sedangkan kerja itu tidak dilakukan pada 31 Jan 2020.

Mahkamah kemudian membenarkan Norashikin diikat jamin RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri di pejabat SPRM Port Dickson setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 28 Julai sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Azriff Firdaus Mohammad Ali, manakala Norashikin diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Saad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.