Malaysia bakal milik jet FA-50 varian tertinggi

Malaysia bakal milik jet FA-50 varian tertinggi

Jet FA-50 “Fighting Eagle” yang bakal dibeli Malaysia memiliki keupayaan yang sama seperti jet milik Tentera Udara Poland.

Kementerian Pertahanan dijadual memeterai perjanjian pembelian 18 pesawat tempur ringan FA-50 “Fighting Eagle” dengan Korea Aerospace Industries (KAI) di Langkawi esok. (Gambar Wikipedia)
LANGKAWI:
Apabila Kementerian Pertahanan memeterai perjanjian pembelian 18 pesawat tempur ringan FA-50 “Fighting Eagle” dengan Korea Aerospace Industries (KAI) esok, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaku pengendali jet pejuang itu akan mendapat varian dengan keupayaan tertinggi, “Block 20”.

Bercakap secara eksklusif menerusi penterjemah kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young berkata varian FA-50 Block 20 yang akan dibeli Malaysia adalah lebih canggih dan berkeupayaan lebih tinggi jika dibandingkan dengan FA-50 yang dikendalikan Tentera Udara Republik Korea Selatan (ROKAF) dan negara-negara lain.

Buat masa ini, hanya TUDM dan Tentera Udara Poland memilih untuk varian terkini “Fighting Eagles”.

“Pesawat FA-50 Block 20 untuk tentera udara Poland dan Malaysia adalah versi terkini FA-50 dan dengan keupayaan tertinggi. Saya ingin katakan keupayaan pesawat itu untuk Poland dan Malaysia adalah serupa.

Terdapat perbezaan antara FA-50 yang dikendalikan ROKAF dan Block 20 yang dieksport ke Malaysia dan Poland.

Perbezaannya ialah versi Korea dikendalikan ROKAF tidak mempunyai radar “Active Electronically Scanned Array” (AESA) tetapi hanya radar konvensional dan juga tidak dilengkapi dengan alat untuk mengenal pasti sasaran (Targeting Pod) dan sistem mengisi minyak.”

“Jadi, kami boleh katakan versi eksport Block 20 adalah yang paling kemas kini, dan versi terkini FA-50 yang telah dinaik taraf,” kata beliau.

Tahun lepas, Poland menandatangani perjanjian dengan KAI untuk membeli 48 FA-50 untuk tentera udaranya.

Selain Malaysia, pengendali varian awal pesawat tempur ringan T-50/FA-50 di Asia Tenggara adalah Thailand, Filipina dan Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.