Lelaki didakwa tikam, bakar mayat teman wanita hamil 2 kali

Lelaki didakwa tikam, bakar mayat teman wanita hamil 2 kali

Polis berkata, selepas membakar mayat mangsa pada Isnin, suspek sekali lagi membakar mayat itu pada Selasa.

Ketua Polis Sabak Bernam Agus Salim Mohd Alias, berkata sebelum kejadian suspek dipercayai bertengkar dengan mangsa kerana enggan merahsiakan kehamilan luar nikah. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki didakwa menikam mati teman wanitanya yang hamil, selain menoreh bahagian perut lalu membakar mayat mangsa, dalam kejadian di kebun kelapa sawit, di Jalan Sungai Limau, pada Isnin.

Ketua Polis Sabak Bernam Agus Salim Mohd Alias, berkata suspek berusia 20 tahun itu yang “tidak sedap hati” kembali ke lokasi kejadian keesokan hari, pada 7 pagi, dan sekali lagi membakar mayat mangsa bertujuan melupuskan mayat.

Beliau berkata, sebelum kejadian suspek dipercayai membawa teman wanitanya menaiki sebuah kereta di kebun kelapa sawit itu kira-kira 10 malam, pada Isnin.

Katanya, polis percaya perselisihan faham untuk merahsiakan kehamilan luar nikah teman wanitanya berusia 21 tahun menjadi punca pembunuhan.

“Suspek mengenali mangsa sejak setahun lalu dipercayai naik berang apabila teman wanitanya enggan memenuhi permintaannya untuk merahsiakan kehamilan dipercayai hasil hubungan luar nikah tersebut,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Dewan Iltizam IPD Sabak Bernam.

Katanya, lelaki itu cuba membuang semua barang bukti di sekitar Jalan Lama Kuala Selangor.

Agus berkata, tindakan mangsa itu disedari orang awam yang menemui mayat terbakar di lokasi kejadian sebelum menghubungi polis.

“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis menahan suspek di sebuah rumah keluarganya pada jam 1.45 petang Selasa di Sungai Besar.

“Semakan polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan direman selama enam hari bermula Rabu untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Mayat mangsa yang terbakar 60% dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat,” katanya.

Pada Selasa, satu mayat tanpa identiti ditemui susulan kepulan asap di tepi kebun berhampiran kandang lembu, dalam kejadian di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Sabak Bernam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.