
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata mangsa dirantai di dalam bilik air oleh majikannya kerana disyaki mencuri barang kemas.
“Dalam kes ini, kami berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah yang dirantai oleh sepasang suami isteri tempatan di rumah terbabit,” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah.
Sementara itu, seorang penduduk enggan dikenali berkata, kejadian berlaku pada 9 malam ketika dia ke kedai runcit di kawasan perumahan berkenaan.
“Pekerja runcit kemudiannya memaklumkan dia terdengar jeritan seorang wanita dari arah sebuah flat berhampiran sebelum bergegas ke lokasi.
“Kami kemudian terdengar jeritan dari arah sebuah rumah di tingkat dua flat berkenaan. Memandangkan rumah itu berkunci, kami menghubungi polis untuk membuat pemeriksaan.
“Polis kemudiannya memecah pintu rumah itu dan ditemukan seorang wanita dalam keadaan dirantai dan lesu di dalam bilik air,” katanya.