Budak 9 tahun cedera diserang buaya di Sandakan

Budak 9 tahun cedera diserang buaya di Sandakan

Mangsa menerima lapan jahitan akibat kecederaan dialaminya.

Anggota Jabatan Hidupan Liar Sandakan melakukan tinjauan di sekitar lokasi kejadian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera di tangan, bahu dan kepala selepas diserang buaya dalam kejadian di Kampung Batu Putih, Sandakan.

Susulan kejadian 1 tengah hari semalam, mangsa menerima lapan jahitan akibat kecederaan dialaminya.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin, berkata kejadian berlaku ketika air laut pasang sehingga ke kawasan jalan perkampungan itu.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan sebaya berenang keluar dari rumah jiran untuk pulang ke rumah.

“Secara tiba-tiba, mangsa diserang dan dibaham di bahagian tangan, namun mangsa sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan bapanya.

“Kanak-kanak itu dikejarkan ke sebuah klinik swasta dan diberikan rawatan sebelum pulang ke rumah,” katanya menurut Berita Harian.

Hussein berkata, kakitangan JHL memeriksa mangsa di rumah sebelum mendapati kanak-kanak itu menerima lapan jahitan di lengan kanan, cedera di bahu kanan dan kepala.

Katanya, anggota JHL Sandakan mendapatkan maklumat daripada bapa mangsa seterusnya membuat tinjauan di sekitar lokasi kejadian.

“Ketika tinjauan dijalankan tiada kelibat buaya dilihat kerana air surut sepenuhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.