
Ketua Misi Malaysia Everest (ME) 2023, Azim Afif Ishak berkata, proses membawa turun jenazah Awang Askandar baru bermula hari ini dan dijangka tiba di kem dua pada sebelah malam.
“Video yang tular itu mungkin membabitkan proses membawa turun pendaki lain yang berdepan masalah dan setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang video proses membawa turun jenazah daripada malim gunung.
“Semua pihak perlu menghormati sensitiviti ahli keluarga Awang Askandar yang masih dalam kesedihan,” katanya menurut Sinar Harian.
Azim juga merayu orang ramai tidak menyebarkan sebarang video berkaitan kejadian yang menimpa pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah itu.
Pada Jumaat lalu, Awang Askandar, 56, dilaporkan meninggal dunia ketika hampir menawan gunung berketinggian 8,848m dari aras laut itu.
Awang Askandar dilaporkan terjatuh pada ketinggian 8,000m sebelum disahkan meninggal dunia.
Seorang lagi pendaki yang terlibat dalam misi itu Muhammad Hawari Hashim, 33, juga dilaporkan hilang dan sehingga kini lelaki itu yang juga OKU pendengaran masih belum ditemui.
Ketika ini Azim bersama seorang pendaki ME 2023, Tiong Ling Yang, 30, dan pengurus pasukan, Ayu Wanirah Naharuddin, 30, berada di Everest Base Camp menunggu ketibaan jenazah bagi dibawa ke hospital di Kathmandu untuk proses selanjutnya.
Terdahulu tular beberapa video lengkap dengan muzik sedih memaparkan operasi menyelamat pendaki yang terjatuh yang didakwa berlaku di Gunung Everest.
Video berkenaan memaparkan mayat pendaki tersangkut di celah ais. Video lain pula menunjukkan seorang malim gunung memikul mayat pendaki di belakangnya dan satu lagi video menunjukkan mayat pendaki yang diikat dari helikopter.