Remaja 17 tahun antara 4 lelaki mengaku salah merusuh di stadium

Remaja 17 tahun antara 4 lelaki mengaku salah merusuh di stadium

Mahkamah menawarkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula kes remaja itu.

Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan merusuh di Stadium Perak ketika perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang remaja bawah umur antara empat lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan merusuh ketika aksi Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak Sabtu lalu.

Muhammad Aiman Firdaus Badrul Hisam, 21, Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 25, Muhammad Hayyan Sufi Mohd Sabri, 19, dan seorang remaja berusia 17 tahun membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Harian Metro melaporkan Aiman, Amirul dan Hayyan masing-masing didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara, jika gagal membayar denda itu, manakala 28 Jun ditetapkan untuk sebutan semula kes remaja bawah umur terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, empat tertuduh didakwa secara bersama melakukan kesalahan merusuh pada 9.17 malam 20 Mei lalu di Stadium Perak, Jalan Kompleks Sukan Ipoh.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menawarkan ikat jamin RM1,500 dan seorang penjamin, sama ada ibu bapa atau penjaga, sementara menunggu tarikh sebutan semula kes remaja itu.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan ke atas empat tertuduh dengan mengambil kira kes itu membabitkan kepentingan awam kerana merusuh bertentangan norma masyarakat negara ini dan ia berlaku di tempat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.