
Zulfikar Khomeini Asli, 44, dan Mat Salleh@Awang Sapong Sapong, 67, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.
Mengikut pertuduhan, Zulfikar ketika bertugas sebagai juruaudit di Kementerian Kewangan Negeri Sabah bersetuju menerima suapan bagi dirinya melalui pemindahan wang di sebuah bank di Sipitang yang dibuat menggunakan cek daripada Syarikat Kilang Sawit Bell Sdn Bhd ke akaun Syarikat Lihot Construction milik ibunya dan Syarikat Sri Atussin Enterprise milik adiknya.
Suapan itu sebagai dorongan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu tidak menjalankan lawatan pemeriksaan mengejut terhadap syarikat Kilang Sawit Bell Sdn Bhd mengenai pemalsuan Penyata Cukai Jualan Negeri borang empat Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Salleh pula didakwa bersubahat dengan Zulfikar iaitu bersetuju menerima bagi pihak kedua-dua tertuduh suatu suapan wang berjumlah RM780,000 pada tempoh dan di daerah yang sama.
Mengikut pertuduhan, Salleh yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Kementerian Kewangan Negeri Sabah, telah menerima suapan tersebut sebagai dorongan untuk dirinya dan Zulfikar tidak melakukan lawatan pemeriksaan mengejut ke Kilang Sawit Bell Sdn Bhd mengenai pemalsuan penyata cukai jualan negeri borang empat Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 17(a) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM80,000 dengan dua penjamin dan mengarahkan mereka melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Zulfikar diwakili peguam Hamid Ismail manakala Salleh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin dan Mohd Syarulnizam Mohd Salleh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee.