
Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, beliau bimbang berlaku tindakan saman di mahkamah apabila individu ditangani itu tidak mengalami kecelaruan mental, kerana “spektrum mental” sangat luas.
Katanya, beliau sendiri sebagai “profesional perubatan” sukar mengenal pasti spektrum kecelaruan mental.
“Spektrum mana yang membolehkan pegawai pecah masuk? Adakah kerana orang itu hanya dalam keadaan runsing-runsing sedikit sahaja, rumah mereka boleh dipecah masuk? Dia termenung sahaja boleh dipecah masuk rumah dia?
“Ini menjadi kebimbangan saya untuk menentukan bila masa kita (pegawai intervensi) boleh memecah masuk rumah untuk menyelamatkan orang bercelaru dengan masalah mental. Saya harap kerajaan teliti. Bukan saya tak sokong RUU ini,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kesihatan Mental (Pindaan 2023) di Dewan Rakyat.
Beliau juga membangkitkan jika pegawai intervensi bertindak di luar had.
“Kita bertindak di luar had sehingga memecah masuk ke rumah dan akhir berlaku implikasi undang-undang saman menyaman pula. Apa akan jadi sekiranya orang itu dibawa kepada psikiatri dan didapati normal?” soalnya.
Alias turut mempersoalkan kesediaan hospital mengendalikan individu mengalami masalah mental dalam tempoh 24 jam memandangkan jumlah psikiatri sangat terhad.
“Semua kes ditangkap tadi disyaki celaru mental akan dibawa ke hospital dalam masa 24 jam. Persoalannya cukupkah pegawai doktor untuk menangani kes yang akan dibawa? Mungkin terlalu banyak dalam satu masa,” katanya.