
Dr Yusof Yacob (GRS-Sindumin) berkata, Sabah kaya dengan hasil semula jadi mempunyai sumber air amat banyak dari sungai, bawah tanah, hujan, dan kawasan tadahan besar, bagaimanapun sumber itu perlu diurus dengan baik bagi memberi bekalan mencukupi kepada rakyat.
Beliau berkata, bekalan elektrik cukup, penting bukan sahaja untuk memenuhi permintaan rakyat, malah penting dalam menarik lebih ramai pelabur luar, justeru penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) pada tahun hadapan, bersama peranan dimainkan GLC dilihat dapat memikul tanggungjawab itu.
“Masalah infrastruktur sehingga kini tidak selesai…semua pemimpin politik di Sabah sama ada kerajaan atau pembangkang daripada rumpun sama dan pernah jadi kerajaan mentadbir Sabah, saya merayu sudah sampai masanya kita berkerjasama perjuangkan rakyat dan menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Ketua Pembangkang Sabah Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan persekutuan, yang bersedia untuk membantu dalam usaha mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan Sabah tidak seharusnya mengambil sikap menunggu kerajaan persekutuan dalam usaha mengatasi isu itu, sebaliknya wajar mempunyai perancangan dan gerak kerja sendiri dalam mengatasi isu tersebut.
“Terdapat banyak masalah dalam (pengurusan) bekalan air di Sabah, kos tinggi juga korupsi dan ketirisan, selain itu perlu kontraktor berkelayakan dilantik dan pastikan tiada monopoli, kita memerlukan satu reformasi dalam pengurusan bekalan air negeri,” katanya.
Rina Jainal (GRS-Kukusan) berkata, tuntutan reformasi pembangunan infrastruktur terutama melibatkan bekalan asas seperti air dan elektrik, perlu terus menjadi perkara asas dalam usaha membantu rakyat yang mana usaha itu memerlukan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Kita sudah sepatutnya bersedia untuk kehidupan akan datang, menyambut kepesatan penduduk dengan perancangan ekonomi mampan. Namun kita masih bercerita mengenai isu lapuk ketinggalan zaman, masih lagi mencari lilin untuk dinyalakan, dan mencari botol kosong untuk tadahan,” katanya.
Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya, kemudiannya menangguhkan persidangan ke hari esok.