Curi 20 kotak susu, suami isteri dipenjara setahun

Curi 20 kotak susu, suami isteri dipenjara setahun

Tertuduh juga mempunyai rekod kes sama dan bergerak aktif di beberapa negeri dengan menjual susu berkenaan kepada pelanggan.

Mahkamah Majistret Melaka menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara terhadap suami isteri kerana mencuri susu formula di Pasar Raya Aeon Lebuh Ayer Keroh. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Melaka menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap pasangan suami isteri selepas mengaku bersalah mencuri 20 kotak susu formula bernilai lebih RM6,000 di sebuah pasar raya, Februari lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Azlee Ibrahim, 39, dan isterinya, Noor Bayah Ab Manaf, 31, yang membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama dengan niat curang mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1 2.32kg, dan Enfalac A+ 2FL Step 2 2.32kg bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.

Menurut Kosmo, kesalahan itu dilakukan antara 5 petang hingga 7.45 malam di Pasar Raya Aeon Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, pada 13 Feb lalu.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan bukan disebabkan kesempitan hidup.

Difahamkan, tertuduh juga mempunyai rekod kes sama dan bergerak aktif di beberapa negeri dengan menjual susu berkenaan kepada pelanggannya.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malik yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman penjara berjalan dari tarikh ditangkap iaitu 16 Feb 2023, selain memaklumkan anak guamnya mempunyai empat anak, manakala Noor Bayah kini hamil tiga bulan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah bersetuju menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap bagi setiap tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.