Bayar atau premis disimbah asid, pengusaha kenderaan terpakai diancam

Bayar atau premis disimbah asid, pengusaha kenderaan terpakai diancam

Polis mengesyaki seorang lelaki melakukan perbuatan khianat dan memeras ugut agar dibayar sehingga RM10,000.

Ketua Polis Timur Laut Soffian Santong, berkata polis menubuhkan pasukan serta melaksanakan operasi khas mengesan lelaki itu susulan 12 laporan diterima melibatkan kerosakan 43 kereta dan 18 motosikal. (Gambar PDRM)
GEORGE TOWN:
Beberapa pemilik premis menjual kenderaan terpakai yang disimbah asid bukan sahaja mengalami kerugian, malah mereka turut diperas ugut oleh suspek agar membayar sehingga RM10,000, jika tidak mahu kejadian sama berulang.

Ketua Polis Timur Laut Soffian Santong, berkata pemilik premis menjual kenderaan itu memaklumkan, mereka menerima mesej pesanan ringkas (SMS) daripada suspek, selepas kedai mereka menjadi mangsa disimbah asid.

“Sehingga semalam kita terima satu lagi laporan polis, menjadikan keseluruhan 12 laporan yang kami terima sejak 2 Mei dan kejadian tersebut menyebabkan 43 kereta dan 18 motosikal pelbagai jenama mengalami kerosakan, akibat disimbah asid dan cecair disyaki peluntur cat.

“Jumlah kerugian keseluruhan yang dialami oleh pemilik-pemilik premis itu ialah RM60,000 dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi, kami mengesan lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC, yang dipercayai melakukan khianat tersebut,” katanya kepada Bernama.

Soffian berkata, modus operandi lelaki itu ialah menyasarkan premis menjual kenderaan terpakai, sebelum suspek membaling bungkusan berisi cecair berwarna merah, peluntur cat atau asid ke arah kenderaan dalam kawasan premis tersebut.

Katanya, lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan khianat tersebut antara 3 petang hingga 6 pagi seorang diri dan pihak polis menubuhkan pasukan khas serta operasi khas bagi mengesan suspek tersebut.

“Jika pemilik premis enggan membuat bayaran, suspek mengugut akan mengulangi perbuatan itu dan sehingga kini ada premis yang sudah tiga kali disimbah cecair berkenaan, kerana tidak mahu membayar, malah tiada pemilik premis menjual kenderaan yang membuat sebarang bayaran kepada suspek,” katanya.

Soffian berkata, kesemua 12 kes itu disiasat Seksyen 427 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan, serta polis turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat.

Sementara itu, beliau berkata, polis menerima satu laporan daripada pemilik sebuah kedai menjual motosikal di Jalan Datuk Keramat, di sini yang turut menjadi sasaran perbuatan khianat pada 10.42 malam tadi, sehingga menyebabkan retak cermis premis.

“Kami kesan serpihan tembakan dan retak pada cermin premis itu yang dipercayai berpunca daripada tembakan, namun ia tidak membabitkan senjata api tetapi dipercayai menggunakan senapang angin.

“Perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek yang menaiki Proton Wira Aeroback berwarna hitam dengan cermin gelap dan setakat ini pemilik premis itu tidak menerima sebarang SMS atau dihubungi suspek,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.