
Mikrofon Ahmad Yahya (PN-Pokok Sena) “disenyapkan” ketika sedang berbahas oleh Ramli, yang menegur Ahli Parlimen PAS itu membahas dan mempersoalkan aspek lain akta tersebut bukannya pindaan.
“YB Pokok Sena, saya dah dua kali melihat YB berbahas. YB faham tak apa yang kita bahas hari ini. Sila berdiri, adab dalam dewan, bila bercakap berdiri, faham,” tegurnya.
Timbalan speaker kemudian membaca Peraturan Tetap Dewan Rakyat 36 (1) mengenai peraturan perbahasan, di mana seseorang Ahli Dewan hanya perlu berbahas mengenai perkara berkaitan pindaan itu, bukan perkara lain.
Sebelum ditegur, Ahmad berkata majoriti pakar psikiatri, psikologi, klinikal, kaunselor dan terapi berada di Pulau Pinang dan Lembah Klang, termasuk mempersoalkan nisbah antara pakar sedia ada dengan keperluan penduduk masa kini.
Selain itu, Ramli turut menegur Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) selepas beliau selesai berbahas bahawa topik yang dibawanya turut menyimpang.
Bagaimanapun, Syerleena memohon maaf kerana tidak sedar mengenai perkara itu.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta Ramli tidak terlalu tegas apabila menyentuh Peraturan Tetap 36 (1).
“Izinkan saya rujuk aturan mesyuarat yang ditimbulkan itu, saya melihat jangan terlalu rigid sangat tuan speaker, walaupun bincang tentang pindaan, namun pindaan itu akan menjadi sebuah akta yang menggantikan akta yang dipinda sebelum ini.
“Jadi bagi sedikit ‘leeway’ (kelonggaran) dan tak perlu Ahli Parlimen minta maaf, dia dah buat persiapan. Kecualilah perbahasan itu menyimpang terlalu jauh tapi sekadar dalam ‘framework’ itu izinkan,” katanya.
Mengulas perkara itu, Ramli berkata beliau memahami maksud Hassan, namun merujuk kembali peraturan mesyuarat bahawa ia bergantung kepada budi bicara pengerusi.
“Saya nak menyelaraskan benda ini supaya dilaksanakan sebaik mungkin dan secepat mungkin. Saya ambil maklum tapi ada peraturan yang menyatakan (ikut) budi bicara pengerusi, saya hanya ingin memaklumkan, menyatakan peraturan-peraturan,” katanya.