Wanita dapat kebenaran merayu berkait status agama

Wanita dapat kebenaran merayu berkait status agama

Rayuan itu dibuat selepas keputusan Mahkamah Rayuan mengembalikan status agamanya sebagai Islam sedangkan dia mendakwa tidak lagi menganut agama itu.

Pada 13 Jan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Mais dan kerajaan Selangor untuk mengembalikan status Islam wanita itu.
PUTRAJAYA:
Seorang wanita berusia 37 tahun mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan status agamanya sebagai Islam.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli membenarkan permohonan wanita itu untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan selepas Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan Selangor tidak mengemukakan bantahan.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Mohd Yusof dan Mary Lim Thiam Suan.

Susulan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan enam isu perundangan pada perbicaraan yang akan ditetapkan tarikhnya kelak.

Wanita itu membangkitkan empat isu perundangan manakala Mais dan kerajaan negeri masing-masing dibenar mengemukakan satu persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sama ada perintah Mahkamah Syariah sah dan bolehkah ia dicabar di Mahkamah Tinggi sivil serta jika Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan terpakai.

Pada 13 Jan lalu Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Mais dan Kerajaan Selangor untuk mengembalikan status Islam wanita itu.

Pada 21 Dis 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman wanita itu dan mengisytiharkan beliau bukan Islam.

Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu beragama Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang menganut Islam.

Dia berkata, ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara berpihak telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992.

Pada tahun berikutnya iaitu 1993, ibunya berkahwin dengan seorang lelaki Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

Pada 12 Dis 2013, wanita itu telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia bukan lagi Islam.

Bagaimanapun, pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya dan Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan A Surendra Ananth mewakili wanita itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda bertindak bagi pihak Mais manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Salim Soib@Hamid hadir bagi pihak kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.