Wahid Satay meninggal dunia

Wahid Satay meninggal dunia

Wahid Satay yang mula aktif dalam dunia lakonan sejak 1957 dan membintangi lebih 30 filem meninggalkan enam anak.

Wahid Satay atau nama sebenarnya Abdul Wahid Ahmad, 93, meninggal dunia pagi tadi di Singapura. (Gambar Wikipedia)
SINGAPURA:
Seniman veteran Abdul Wahid Ahmad atau lebih dikenali sebagai “Wahid Satay”, 93, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 8.15 pagi tadi di rumah cucunya.

Menurut anak keduanya, Hafizah Abdul Wahid, 67, kesihatan bapanya mula merosot sejak dua minggu lalu selepas keluar dari Hospital Changi bagi menerima rawatan berkaitan sakit kencing manisnya.

“Arwah masih riang dan boleh bercakap sebelum ini. Beliau mula terlantar di katil sejak dua minggu lalu. Arwah turut menghidap darah tinggi dan jantung,” katanya ketika dihubungi.

Wahid yang mula aktif dalam dunia lakonan sejak 1957 dan membintangi lebih 30 filem meninggalkan enam orang anak.

Isterinya meninggal dunia pada 1995.

“Saya hanya mengharapkan doa dari seluruh peminat bapa di Malaysia agar roh bapa dicucuri rahmat Allah SWT, ditempatkan dalam Jannah dan ditempatkan dalam kalangan roh para solihin,” kata Hafizah.

Beliau menyatakan “amat kehilangan” kerana sentiasa bersama bapanya ke mana sahaja termasuk Malaysia.

Menurut Hafizah, jenazah bapanya disemadikan di Pusara Aman, di sini, selepas Zuhur.

Jenazah berada di rumah anaknya Mahirah Mohd Yasin di Blok 57, Teban Gardens Road, #14-469, Teban View.

Allahyarham pernah memenangi Anugerah Oskar Black Gold bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Pesta Filem Asia, Manila pada 1963, Pelawak Terbaik dalam Pesta Filem Asia di Taiwan pada 1966 dan Anugerah Perdana Emas oleh MediaCorp dalam acara Pesta Perdana pada 2007.

Kali terakhir Allahyarham membuat kemunculan di khalayak ramai adalah semasa persembahan di majlis koktel sempena Festival Filem Malaysia ke-32 di Encore Melaka pada Disember 2022.

Allahyarham yang sentiasa membawa watak komedi merupakan antara seniman terkenal filem Melayu era Jalan Ampas.

Gelaran “Wahid Satay” tercetus daripada filem Pontianak, di mana beliau bekerja sebagai penjual sate yang diganggu makhluk itu.

Dilaporkan filem Pontianak lakonan bersama Maria Menado dapat bertahan selama tiga bulan di Panggung Cathay dan memberikan saingan kepada filem Hollywood, Samson and Delilah.

Filem lakonan Allahyarham yang masih mendapat tempat dan terus diingati termasuklah Badang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.