Rayuan Laidlaw wakili Najib didengar 10 Ogos

Rayuan Laidlaw wakili Najib didengar 10 Ogos

Pendakwa raya, Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur juga memohon membatalkan rayuan Jonathan Laidlaw pada tarikh tersebut.

Pada 21 Julai 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Jonathan Laidlaw mewakili Najib Razak dalam rayuan terakhir terhadap sabitan berkaitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Ogos untuk pendengaran rayuan peguam diraja Jonathan Laidlaw yang berpangkalan di United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam bagi mewakili bekas perdana menteri, Najib Razak dalam perbicaraan kes jenayah melibatkan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron, Khamis lepas.

Peguam Wan Mohammad Arfan Wan Othman yang mewakili Laidlaw dalam pengurusan kes itu dan peguam Badan Peguam Malaysia, Annemarie Pravina Vendargon ketika dihubungi mengesahkan tarikh pendengaran itu.

Vendargon berkata, Mahkamah Persekutuan juga pada hari yang sama akan mendengar permohonan pendakwa raya, Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur untuk membatalkan rayuan Laidlaw dan permohonan pendakwa raya untuk mencelah.

Pendakwa raya yang tidak dinamakan sebagai responden dalam rayuan Laidlaw, telah memfailkan permohonan sebagai pencelah untuk dimasukkan sebagai responden keempat dalam rayuannya kerana ia merupakan satu pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi tetapi telah digugurkan secara berpihak dalam rayuan itu.

Sementara itu, Wan Mohammad Arfan berkata, setakat ini proses rayuan itu masih lagi berjalan.

Masih belum dapat dipastikan mengapa Laidlaw mahu meneruskan rayuan itu apabila Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac tahun ini menolak permohonan semakan semula Najib ke atas sabitan, hukuman penjara dan denda kerana kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Sebelum ini, peguam Najib, Shafee Abdullah berkata, Laidlaw akan mewakili bekas perdana menteri itu jika ada pendengaran semula rayuan mengenai kesnya berkaitan SRC di Mahkamah Persekutuan.

Pada 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman beliau telah ditolak Mahkamah Rayuan pada 2021.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan, hukuman dan denda terhadapnya pada 23 Ogos tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.