Ramai belum faham cubaan bunuh diri satu jenayah, kata Ahli Parlimen pembangkang

Ramai belum faham cubaan bunuh diri satu jenayah, kata Ahli Parlimen pembangkang

Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Ahmad Yunus Hairi berkata kurang pemahaman menyebabkan peratusan bunuh diri negara tidak mampu diturunkan.

Dr Ahmad Yunus Hairi mencadangkan kerajaan mewujudkan satu pusat pemulihan khusus bagi memulihkan semula mereka yang melakukan cubaan bunuh diri.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang beranggapan masih ramai rakyat gagal memahami perbuatan cubaan membunuh diri merupakan satu tindakan jenayah.

Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), berkata kegagalan itu menyebabkan negara tidak mampu menurunkan peratusan bunuh diri.

“Cubaan bunuh diri ini sebelum ini sebagai kesalahan jenayah, adakah ianya bermakna bahawa hukuman atau akta undang-undang yang sedia ada telah gagal untuk kita implimentasi, adakah satu kajian dibuat sama ada ianya benar tak dapat menghalang cubaan bunuh diri yang berlaku.

“Sejauh mana rakyat faham atau mendapat maklumat cubaan bunuh diri adalah salah satu daripada kesalahan jenayah. Saya kira sebahagian besar daripada masyarakat di luar sana tidak memahami undang-undang yang kita ada,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.

Beliau juga khuatir dengan statistik polis, menyatakan masalah kemurungan antara punca cubaan bunuh diri yang turut melibatkan golongan remaja antara 13 hingga 17 tahun.

Sehubungan itu beliau berkata, hukuman serta rawatan di hospital sahaja tidak cukup untuk menurunkan kadar bunuh diri, sebaliknya kerajaan boleh menimbangkan kaedah rawatan melalui sudut keagamaan.

“Sebab itu saya melihat bukan sekadar hukuman, bukan hanya sekadar rawatan di hospital, tetapi dari segi keagamaan, bagi orang Islam mungkin pendekatan Islam itu sendiri sebagai salah satu rawatan untuk mereka pulih semula,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan pusat pemulihan khusus dalam usaha merawat mereka yang terlibat dengan cubaan bunuh diri.

“Kalau kita ada masalah dadah kita ada pusat serenti, kalau ini boleh adakan pusat pemulihan (cubaan bunuh diri) bermakna kita boleh membantu ramai masyarakat dan akhirnya matlamat kita mengurangkan tingkah laku bunuh diri dapat tercapai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.