Peneroka Felda maut nahas elak babi

Peneroka Felda maut nahas elak babi

Polis berkata motosikal ditunggang mangsa bergesel dan melanggar sisi kanan kereta menyebabkannya jatuh serta terseret ke bahu jalan.

Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di KM11 Jalan Bahau-Rompin semalam. (Gambar polis)
PETALING JAYA:
Seorang peneroka Felda maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di KM11 Jalan Bahau-Rompin, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Jempol, Hoo Chang Hook, berkata nahas kira-kira 10 malam semalam membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi ditunggang lelaki berusia 61 tahun yang juga peneroka Felda Serting Hilir dengan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal, kereta berkenaan dalam perjalanan pulang dari arah Bahau ke Batu Pahat, manakala mangsa dari arah Rompin hendak ke Bahau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai cuba mengelak seekor babi yang tiba-tiba melintas menyebabkan kenderaannya masuk sedikit ke laluan bertentangan,” katanya menurut Sinar Harian.

Hoo berkata, kebetulan motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan, bergesel dan melanggar sisi kanan kereta menyebabkan mangsa jatuh serta terseret ke bahu jalan.

Katanya, warga emas yang parah itu dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta yang merupakan tukang masak tidak cedera.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggalkan dunia pada 3.15 pagi Isnin akibat pelbagai kecederaan susulan kemalangan itu. Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.