Nyah jenayah bunuh diri: Kerajaan rujuk mufti, kaji ikut perspektif syariah

Nyah jenayah bunuh diri: Kerajaan rujuk mufti, kaji ikut perspektif syariah

Kerajaan juga merujuk undang-undang berhubung cubaan bunuh diri dalam kalangan negara Islam antaranya Brunei, Jordan, Qatar dan Pakistan.

Ramkarpal Singh berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tidak mempunyai halangan menyahjenayah cubaan bunuh diri.
PETALING JAYA:
Pejabat Peguam Negara sudah membuat kajian dari segi syariah bersama negara Islam lain berhubung pindaan rang undang-undang (RUU) bagi menghapuskan kesalahan cubaan membunuh diri dalam Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, berkata pihaknya juga merujuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu dan mereka tidak mempunyai sebarang halangan.

“Ikut rekod kami AGC (Pejabat Peguam Negara) telah mengkaji hukum percubaan bunuh diri ikut perspektif syariah dan ambil maklum negara Islam lain yang masih mengekalkan kesalahan membunuh diri seperti Brunei, Jordan, Qatar, UAE dan Pakistan.

“Bagaimanapun, Pakistan telah memansuhkan cubaan bunuh diri (sebagai jenayah) seperti yang kami cadangkan ini,” katanya semasa sesi penggulungan pindaan RUU itu di Dewan Rakyat.

Ramkarpal berkata demikian menjawab soalan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang menggesa kerajaan menyatakan perbandingan dengan negara Islam lain berkait jenayah bunuh diri.

Selain itu, Hassan juga berkata, berdasarkan undang-undang syariah, tindakan membunuh diri merupakan kesalahan besar, justeru mempersoal kerajaan berhubung sesi libat urus bersama pihak berkait undang-undang Islam.

“Jadi, setakat sekarang saya tak ada pendirian nak sokong atau tidak sokong, melainkan timbalan menteri dapat yakinkan saya usaha telah dilakukan sebaik mungkin berkenaan RUU ini,” kata Hassan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.