
Dua rakannya, Muhamad Shah Ahmad, 45, dan Ahmad Kamal Jonet, 40, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan suri rumah itu, Nor Ashyikin Ismail, 34, yang juga ibu kepada empat anak bersama Muhamad Shah dan Kamal, didakwa memiliki morfin dan heroin seberat 0.97g di sebuah rumah di Parit Kadir, Senggarang, Batu Pahat, pada 6 petang, 17 Feb lalu.
Menurut Harian Metro, mereka dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas Nor Ashyikin dan tujuh bulan terhadap Muhamad Shah dan Kamal.
Bagi pertuduhan kedua pula, Nor Ashyikin dan Muhamad Shah didapati positif methamphetamine hasil ujian air kencing dijalankan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Batu Pahat, pada 7.50 malam, hari sama.
Justeru, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh kemudian dijatuhi hukuman penjara empat bulan. Mahkamah juga memutuskan semua hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh dijalankan serentak dari tarikh ditahan pada 17 Feb.
Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan meninggalkan kawasan tanpa kebenaran untuk tempoh dua tahun serta mengarahkannya melaporkan diri di balai polis berdekatan.
Terdahulu, peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah mengenakan hukuman paling ringan memandangkan anak guamnya sedang hamil serta perlu membesarkan empat lagi anak masih kecil.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya.