Loke minta ahli DAP undi calon Umno pada PRN

Loke minta ahli DAP undi calon Umno pada PRN

Setiausaha agung DAP berkata sokongan kepada Umno adalah gambaran pengukuhan kerjasama dalam gabungan kerajaan perpaduan.

Loke Siew Fook berkata saranan untuk menyokong sesama sendiri adalah munasabah dengan setiap parti dalam gabungan wajar saling menyokong terutama pada PRN.
PETALING JAYA:
DAP juga akan meminta ahli parti itu mengundi calon Umno pada PRN, kata setiausaha agung Loke Siew Fook.

Loke menyatakan pendirian itu sebagai maklum balas selepas Umno meminta ahlinya menyokong calon DAP pada PRN akan datang.

“Itu kenyataan logik. Apabila kita kerjasama sudah tentu rakan dalam kerjasama akan sokong. Sama juga pemimpin DAP semasa kempen PRN nanti juga akan meminta ahlinya undi calon Umno khususnya.

“Jadi bagi saya itu satu kenyataan yang logik, sudah tentu bila kita kerjasama dalam satu gabungan, kita mesti sokong antara satu sama lain kerana kita tidak bertanding menentang sesama sendiri.

“Jadi kita sudah tentu berterima kasih kepada (ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno), Ahmad Maslan kerana membantu kita,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Ahmad dilaporkan meminta ahli Umno mengundi calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kerajaan perpaduan.

Ahmad berkata, apabila ahli Umno sudah berada dalam kerajaan perpaduan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti.

Dalam pada itu Loke berkata, pandangan Ahmad supaya pengundi Umno di enam negeri yang akan menghadapi PRN memberi sokongan kepada calon DAP ialah gambaran pengukuhan kerjasama dalam gabungan kerajaan perpaduan.

Loke menyifatkan saranan itu sebagai munasabah dengan setiap parti dalam gabungan berkenaan wajar saling menyokong terutama pada PRN.

“Saya rasa mesej itu bukan sahaja kepada calon DAP tapi kepada calon PH, sama juga dengan pemimpin PH yang akan berkempen nanti kita akan kempen supaya penyokong PH undi calon BN di mana calon PH tidak bertanding.

“Jika BN yang bertanding kita minta penyokong PH alihkan sokongan terhadap BN, jadi itu kenyataan logik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.