Agensi berpusat lindung pemberi maklumat antara cadangan pindaan akta

Agensi berpusat lindung pemberi maklumat antara cadangan pindaan akta

Azalina Othman Said berkata cadangan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bertujuan menjadikan negara bebas rasuah dan salah laku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata kerajaan dalam proses akhir mendapatkan keputusan dasar berhubung cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penubuhan satu agensi berpusat bertanggungjawab memberi perlindungan kepada pemberi maklumat antara tujuh cadangan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata agensi itu dicadang menjadi penyelaras akta berkenaan.

Katanya, antara cadangan lain melibatkan menambah baik definisi “kelakuan tidak wajar” dan “Agensi Penguatkuasaan” di bawah peruntukan seksyen 2; memperkukuhkan peruntukan seksyen 6 mengenai pendedahan “kelakuan tidak wajar”; dan mewujudkan peruntukan berhubung “mekanisme aduan dalaman”.

Selain itu, cadangan pindaan juga berkait memperjelaskan peruntukan seksyen 8 dan seksyen 14 berkaitan “tindakan yang memudaratkan”; memperincikan peruntukan seksyen 11 berhubung pembatalan perlindungan; dan mempertimbangkan penentuan skala bagi ganjaran di bawah seksyen 26.

“Kerajaan kini dalam proses akhir untuk mendapatkan keputusan dasar berhubung cadangan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen menjawab Azli Yusof (PH-Shah Alam).

Beliau berkata, kerajaan amat berharap melalui cadangan penambahbaikan dan pindaan tersebut, tindakan perlindungan kepada pemberi maklumat di akan menjadi lebih komprehensif dan efektif.

“…sekali gus membantu dalam menjayakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas rasuah dan salah laku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.